Kuala Lumpur City (KL City) FC menyempurnakan ‘kisah dongeng’ mereka apabila mengejutkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 untuk merangkul Piala Malaysia ke-100 tahun pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kemenangan itu membolehkan skuad ‘Warga Kota’ mengucapkan selamat tinggal kepada penantian 32 tahun untuk memenangi piala keagungan itu yang juga gelaran keempat mereka selepas kali terakhir memenanginya pada 1989.
Lebih manis, bukan setakat mengesahkan kejuaraan tanpa sebarang kekalahan dalam kempen Piala Malaysia malah mereka juga meraih tiket ke Piala AFC musim depan.
Keputusan itu turut menyaksikan JDT meneruskan ‘badi’ selaku juara bertahan Piala Malaysia apabila Pahang muncul juara bertahan terakhir yang berjaya mengekalkan trofi terbabit pada 2014.
Kemenangan bersejarah pasukan Kuala Lumpur City (KL City) menjulang trofi Piala Malaysia menundukkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam pastinya meninggalkan kesan mendalam buat penyokong kedua-dua pasukan.
Walaupun perlawanan sudah berakhir namun drama penyokong kedua-dua pasukan masih berterusan sehingga kini.
Ada juga penyokong yang mencuri tumpuan apabila sengaja ‘mengusik’ pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Menerusi satu hantaran di laman sosial Twitter oleh @khairizulfadhli, beliau mentertawakan pasukan kesayangan TMJ tersebut kerana tewas pada perlawanan itu.
Namun, TMJ membalas ciapan pemuda itu dengan penuh ketenangan.
“Encik, esok pagi saya masih Tunku Mahkota Johor (TMJ), masih mempunyai wang, 18 piala dalam masa lapan tahun.
“Allah kurniakan saya dengan empat orang anak dan isteri, anda boleh ketawa hari ini atau sementara tetapi saya ketawa pada hari-hari berikutnya, Saya bersyukur kerana diberkati,” katanya di Twitter.
Rata-rata orang ramai meninggalkan pelbagai komen terhadap isu tersebut.
“Sejujurnya, aku memang nak pasukan lain kalahkan JDT, bukan sebab aku benci tak suka JDT, tetapi aku ingin pasukan lain naik sejajar kualiti JDT.
“Aku tak suka keputusan yang boleh dijangka, apa pun tahniah kepada kedua-dua pasukan dan para pengadil atas persembahan sangat mendebar dan menghiburkan,” kata @ArnezHamidi.
“Ini namanya ‘koyak’ ‘steady’. Gembira sebab masih kaya berbanding orang lain. Kaya piala maksud saya,” ujar @nacoii.
Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) memohon maaf kepada penyokong setelah tewas 0-2 di perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-100 kepada Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Kenyataan itu dimuat naik di Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers tengah malam tadi selepas tamat perlawanan akhir itu.
Menurut kenyataan itu, JDT melalui musim yang baik setelah memenangi dua trofi Liga Super dan Piala Sumbangsih selain melangkah ke pentas final piala berprestij itu malam tadi
“Selamat Malam Keluarga JDT. Kami minta maaf kerana tidak dapat menambah yang ketiga tetapi ianya tetap merupakan musim yang baik untuk kami dengan dua trofi, memenangi Liga Super Malaysia dan Piala Sumbangsih.
“JDT juga layak sehingga ke pusingan akhir Piala Malaysia pada ulang tahunnya yang ke-100, serta memastikan sekali lagi ke Liga Juara-Juara AFC (ACL).
“Terima kasih untuk musim yang menakjubkan!,” katanya menerusi hantaran di Facebook yang mendapat reaksi positif dalam kalangan penyokong.
Terdahulu, di laman Facebook yang sama, JDT turut memuji pasukan The City Boys yang muncul pemenang Piala Malaysia edisi ke-100.
Kemenangan itu juga cukup bermakna buat skuad The City Boys yang menamatkan penantian selama 32 tahun untuk mendakap kembali piala berprestij berkenaan selain meraih tiket ke Piala AFC musim depan.
Sebelum perlawanan bermula, pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluahkan kegembiraan setelah skuad Harimau Selatan beraksi di final Piala Malaysia bersempena ulang tahun ke-100 pertandingan yang disifatkan sebagai satu penghormatan.
Walaupun belum aksi final bermula, Tunku Mahkota Johor itu turut tumpang gembira sekiranya KL City menang perlawanan itu dan seterusnya beraksi di kejohanan AFC musim depan.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada skuad dan pengurusan Kuala Lumpur City kerana mencipta sejarah mara ke final selepas 32 tahun.
“Jikalau kita memenangi trofi ini, ia akan menjadi sebuah lagi trofi untuk tahun ini selepas memenangi Liga Super Malaysia untuk layak ke Liga Juara-Juara AFC sekali lagi, dan juga Piala Sumbangsih.
“Jikalau tidak menang, saya sebenarnya gembira dapat melihat pasukan seperti KL bermain dalam saingan Piala AFC tahun hadapan,”tulisnya
Sumber: K.online