Inilah dia ‘Bekas Kekasih’ Barkoba, Nisha tidak menjangka namanya mula menjadi sebutan

Ramai penonton tertanya-tanya bagaimana wajah sebenar watak Yati yang mengenakan niqab dalam filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa arahan Mamat Khalid yang ditayangkan ketika ini.

Penampilan Norainisham Shamsul Hafizi, 22, dengan imej sedemikian sebagai bekas kekasih Barkoba lakonan Bell Ngasri dalam filem berkenaan membuatkan ramai ingin tahu siapa dia sebenarnya.

Norainisham atau Nisha ketika dihubungi tidak menjangka namanya mula menjadi sebutan hanya kerana watak itu.

“Saya tak sangka watak Yati memberi kesan kepada penonton dan ramai yang tertanya-tanya mengenai saya,” katanya.

Nisha berkata, anak Mamat iaitu Amen Khalid yang menghantar ‘Direct Messenger’ (DM) di Instagram kepadanya memaklumkan perkara itu.

“Dia kemudian meminta izin saya untuk kenalkan Instagram saya di akaunnya. Selepas itu, terus ramai yang ‘follow’ (ikuti) saya di Instagram selain menerima banyak komen menerusi DM yang membuatkan saya terharu.

“Tak ketinggalan ramai juga yang memberi sokongan untuk saya terus bergiat dalam bidang lakonan,” katanya kepada Harian Metro.

Nisha yang berasal dari Ipoh, Perak adalah bekas pramugari syarikat penerbangan Malindo Air. Dia terpilih untuk melakonkan watak Yati selepas memberikan portfolio kepada Mamat.

“Portfolio ini diberikan menerusi bapa saya pada akhir Oktober tahun lalu. Selang beberapa hari kemudian, ‘uncle’ Mamat adakan pertemuan untuk melihat kesesuaian saya untuk membawa watak Yati.

“Dari segi pengalaman, saya memang tak pernah berlakon dengan mana-mana produksi dan ini pengalaman pertama saya berlakon terus di bawah arahannya.

“Saya dan juga keluarga terutamanya ayah memang peminat karya Mamat. Sekarang apabila dapat berlakon dalam salah satu karya pengarah hebat itu, saya rasa macam tak percaya dan sangat bersyukur.

“Ibu dan ayah sebagai peminat filemnya pun sangat gembira dan bangga. Ini memang satu pengalaman yang sangat berharga buat saya,” katanya.

Nisha berkata, ketika mula-mula berlakon dia sangat gementar kerana ia pengalaman pertama, lebih-lebih lagi apabila perlu berlakon dengan pelakon berpengalaman dan popular.

Nisha gembira apabila semula pelakon banyak berkongsi ilmu dan memberi tunjuk ajar kepadanya.

“Saya amat berterima kasih dengan uncle Mamat yang membawa masuk saya dalam karyanya. Daripada tak tahu apa-apa saya mula ada pengalaman. Selepas ini sekiranya ada mana-mana penerbit menawarkan untuk berlakon, saya akan meminta izin dari ‘uncle’ Mamat terlebih dulu,” katanya.

Jangan lupa komen yang baik baik sahaja.

Sumber: BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *